Saturday, December 12, 2009

Rakyat akan terhimpit bila barang lain turut naik harga - Dr Mariah

Rakyat akan terhimpit bila barang lain turut naik harga - Dr Mariah

Salmiyah Harun
Thu | Jun 05, 08 | 5:31:21 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Kenaikan harga petrol sebanyak 40 peratus akan terus menghimpit kehidupan rakyat negara ini tambahan pula mereka dari hari ke hari agak sukar untuk mendapatkan duit ekoran pekerjaan yang diboloti oleh warga asing.

Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Pusat Dr Mariah Mahamud ketika dihubungi berkata, rakyat negara ini saban hari terbeban dengan kenaikan minyak dan akibatnya pasti akan mendorong kenaikan harga barangan lain.

"Apabila minyak naik, barang keperluan akan naik, tambang pun pasti akan naik, sedangkan pendapatan rakyat tidak berubah dan sukar pula mencari pendapatan ekoran banyak kilang-kilang lebih senang menggunakan pekerja daripada warga asing menyebabkan ini menyukarkan rakyat tempatan mendapatkan pendapatan tambahan," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau percaya rakyat negara ini akan 'mengamuk' suatu hari nanti apabila kerajaan tidak melakukan sebarang mekanisme untuk mengurangkan bebanan dan tanggungan rakyat ekoran kenaikan minyak ini.

Beliau turut mengeluh, apabila ditanya apakah rakyat boleh menghadapi kenaikan ini dengan mengubah cara hidup.

Dengan satu cara, Mariah mendesak kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat negara ini supaya jumlah kemiskinan tidak akan meningkat.

"Jika kerajaan tidak melakukan perkara ini, ia sekali gus akan meningkatkan jumlah kemiskinan dan keadaan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya, jika kerajaan memberi pendapatan yang tinggi dan dalam masa yang sama ada kenaikan petrol rakyat mungkin tidak terlalu terbeban.

Dalam pada itu, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dalam kenyataannya, mengecam tindakan kerajaan meningkatkan harga minyak dalam masa yang sama dunia sedang menghadapi krisis makanan.

Menurut Jerit, pembayaran rebet sebanyak RM625 dan RM150 kepada rakyat yang kononnya akan mengurangkan beban adalah tidak tepat sama sekali.

Katanya, rebet itu tidak memberi apa-apa makna kerana kos hidup rakyat akan naik 100 peratus dengan kenaikan itu akibatnya rantaian (chain reaction) berubah apabila harga minyak naik.

Jerit turut mencabar kerajaan agar mendedahkan akaun Petronas kepada rakyat negara ini, memandangkan keuntungan Petronas boleh digunakan untuk subsidi petrol untuk rakyat.

"Semua harga barangan naik, tetapi gaji tidak naik sama sekali, apabila rakyat tuntut akta gaji minimum kerajaan kata tidak boleh kerana dibimbangi berlaku inflasi.

"Tetapi bila kapitalis tuntut harga petrol naik kerajaan membenarkan, tidak apa sebab inflasi naik sedikit sahaja, jelas di sini kerajaan ini hanya pentingkan kapitalis dan bukan rakyat jelata," rungut mereka.

Justeru kata Jerit, kerajaan Barisan Nasional hanya mementingkan keuntungan dan bukannya kebajikan rakyat. - mns _

No comments:

Post a Comment